Saturday, April 28, 2012

Jika Membenci Bukan Menjadi Pilihan

Assalamualaikum w.r.b.....salam perkenalan diucapkan =)


Entri pertama saya selaku orang baru dalam dunia 'blogging' adalah seperti yang anda lihat tajuknya di atas.


"....boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu  tidak mengetahui....
( Al-Baqarah : 216 )


Lazimnya apabila kita menempuh sesuatu keadaan yang menyakitkan hati dan jiwa, kita menemui sepotong ayat ini atau diberi sepotong ayat ini oleh seorang teman. Dan hati kita sama ada secara rela atau tidak, cuba untuk ditenteramkan. Namun hiba dihati masih juga belum surut. Jiwa masih tercarik-carik dengan imbasan segala yang berlaku. Luka masih terasa berdarah. Ada rasa membara di dalam. Serasa tiada yang dapat memahami apa yang sedang kita lalui dan tempuhi. Terlalu mudah untuk mereka berbicara tetapi mereka tidak menempuhi semua ini!


Berhenti sejenak !


Tarik nafas sedalamnya dan hembuskan perlahan......


"....Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman', dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta..."
( Al'Ankabut : 2 - 3 )


Perhatikan sejenak ayat di atas. Setiap dari kita diuji. Hanya saja ujian itu berbeza-beza. Acap kali kita terasa kebal dari ujian......maka akan menyebabkan persoalan ini timbul : "Mengapa harus aku menempuh semua ini?". Kita menjadi emosi lalu marah kepada asbab yang dilihat oleh pancaindera kita. Sebagai contohnya, duit kita dicuri orang, lalu kita marah kepada pencuri tersebut dengan merungut-rungut kita memerlukan duit tersebut, hanya itu sahaja tunai yang kita miliki pada ketika itu. Rentetan kepada segala runguta membawa kepada sebuah keazaman sekiranya pencuri itu diketahui, maka akan terancamlah nyawanya. Ini baru perihal pencuri. Lain pula kisahnya jika kita dikhianati. Tidak kisah siapa yang mengkhinati itu, yang pasti perbuatan itu meninggalkan kesan yang mendalam...luka tidak berdarah.


Benar, tiada siapa dapat menerima jika dilukai. Tetapi, mengapa perlu kita membenci? Mengapa itu yang menjadi pilihan pertama kita? Kita maklum bahawa Muhammad S.A.W. merupakan contoh ikutan kita tetapi pada beberapa perkara, kita akan berdalih. Baiklah, kita adalah manusia biasa. Kita bukan Nabi jauh lagi orang alim. Berhenti ! Berhenti untuk membuat perbandingan. Berhenti untuk mencari alasan untuk berdalih.


Lupakah kita bahawa setiap dari kita diuji sesuai kemampuannya? Lupakah kita bahawa yang memberi ujian itu adalah Allah? Dan lupakah kita bahawa ujian bisa hadir sebagai teguran dari Allah untuk kita? 


"It's funny. In school you're taught a lesson, then given a test. But in life, you're given a test that teaches you a lesson."






Belajar untuk berlapang dada dan menerima segala yang terjadi dengan tenang. Bersyukurlah kita masih diuji kerana itu tanda Allah sayang pada kita. Daripada kita membebankan fikiran kita dengan berbagai persoalan mengapa insan-insan tersebut tega menyakiti kamu dengan cara sedemikian......fikirkan pula apa yang ingin Allah khabarkan kepada mu? Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersirat hanya sahaja kita memilih untuk membuka hati melihatnya atau menafikan sehingga akhirnya kita sesal kerana tidak membuka 'mata' lebih awal.


Lapangkan hati dan biarkan apa yang terjadi berlalu. Tidak perlu dicari sebabnya lagi sebaliknya, bebaskan diri kita dari rasa yang menyesakkan. Kita boleh terlepas peluang yang baik kerana terlalu menangisi sesuatu. Tidak salah untuk menangis dan bersedih. Air mata tidak diciptakan sia-sia. Lepaskan apa yang kamu rasakan kemudian bangkit berdiri kembali meneruskan langkah.


Pada awalnya, sakit itu tidak terperi. Oleh itu, jangan pernah lupa DIA akan sentiasa bersama dalam setiap langkah yang kita atur. Percaya dengan setiap ketentuan-Nya dan belajar untuk ikhlas dan bersyukur menerima semuanya. Insya Allah secara perlahan-lahan kita akan merasa lebih tenang menghadapi keadaan yang menekan ini.


Pilihlah untuk tidak membenci dengan sebab diri kita sendiri, supaya kita tidak lagi perlu merasa sesak di dada. Lakukan untuk diri kita. Usah difikirkan untuk membalas segala yang dilakukan kerana ia tidak akan menyebabkan kita menjadi lebih mulia tetapi setaraf atau mungkin lebih hina dari pelaku asal. Sebaliknya, ucapkan terima kasih di atas kesakitan itu kerana kelak ia mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita menjadi lebih baik. Pilihlah sama ada kehidupan yang damai tanpa menambah musuh ataupun menjadi musuh kepada semua kerana kemarahan yang kita simpan itu. Ada apa pada benci?






                   "The best revenge you can give is to live happily."













2 comments:

  1. air mata dicipta utk membersihkan mata da ri kotoran. :)

    ReplyDelete
  2. betul..juga sebagai kekuatan untuk meneruskan langkah..air mata kehidupan :)

    ReplyDelete