Friday, May 15, 2020

Berkata baik, atau diam!

Dalam keghairahan kita memburu malam Lailatul Qadar, hati ini terasa sangat sedih, sedih dengan sikap kita yang terlalu asyik menyebarkan berita tidak benar dan fitnah yang jahat. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, kami banyak buruk sangka terhadap orang lain. Kami tidak mahu berjumpa denganMu dalam keadaan muflis. Kami sangkakan kantung amalan kami penuh dengan amalan, padahal ia bocor dengan kata buruk terhadap orang, sangka buruk terhadap orang dan fitnah jahat terhadap orang lain.

Sempena dengan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini, ayuh! Marilah sama-sama kita perbanyakkan berdoa kepada Allah swt agar kita semua, khususnya mereka yang membaca status ini akan mendapat rezeki untuk berjumpa dengan malam Lailatul Qadar, jauhkanlah kami daripada menjadi orang yang muflis di akhirat nanti..insya Allah, amin ya Allah 🤲🏻

Hariz Fathee
15 Mei 2020
22 Ramadhan 1441H

Wednesday, May 13, 2020

Lailatul Qadar : Malam Seribu Bulan

PECUTAN 10 MALAM TERAKHIR.

Ayuh rebut peluang yang dibentangkan oleh Allah swt.

Rasulullah saw pernah menceritakan tentang kisah ibadah kaum yang terdahulu. Terdapat empat orang lelaki dari kalangan kaum Bani Israil (iaitu umat Nabi Musa AS) yang mana mereka beribadah kepada Allah swt selama lapan puluh (80) tahun tanpa melakukan maksiat walaupun sekelip mata. Mendengar kisah tersebut, para sahabat merasa sangat kagum dengan ibadah yang dilakukan oleh kaum terdahulu. Maka datanglah Jibril dan berkata : “Sesungguhnya Allah swt menurunkan hal yang lebih baik daripada itu.” Maka Jibril membacakan ayat daripada Surah Al-Qadr, ayat 1-3.

Allah swt mengurniakan umur yang panjang kepada umat yang terdahulu. Terdapat riwayat yang menceritakan tentang umur Nabi yang terdahulu, misalnya :
Umur Nabi Adam 930 tahun
Umur Nabi Idris 345 tahun
Umur Nabi Nuh 950 tahun
Umur Nabi Musa 120 tahun

Manakala umur umat Nabi Muhammad saw pula adalah pendek sahaja, sebagaimana hadis daripada Rasulullah saw :

أعمارُ أمتي ما بين السِتِّينَ إلى السبعينَ وأقلُّهم من يجوزُ ذلك

“Umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun, dan sangat sedikit antara mereka yang melewati itu.”

Jika ingin dibandingkan daripada sudut umur, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi panjang dan lamanya ibadat umat yang terdahulu. Itu belum lagi kita tolak umur kita dengan hal-hal keduniaan yang lain, misalnya tidur, makan, minum, berbual kosong, muat naik status facebook, whatsapp, instagram, twitter, dan sebagainya. Berapakah agaknya baki umur kita yang betul-betul berkualiti untuk kita isi dengan beribadah kepada Allah swt?

Oleh sebab itulah, Allah swt menganugerahkan malam Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad saw. Pada malam itu, barangsiapa yang diberikan peluang untuk beribadat, ganjarannya adalah lebih baik daripada beribadat selama 1,000 bulan.

Sabda Rasulullah saw :

تَحَرُّوا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

"Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”

Semoga bermanfaat.

Hariz Fathee
13 Mei 2020
20 Ramadhan 1441H

Tuesday, June 18, 2019

Perubahan bermula daripada diri sendiri.

Salam sejahtera buat semua..ayuh! Usah buang masa lagi, tiada siapa yang akan mampu mengubah nasib kita melainkan diri kita sendiri..adakah kita ingin terus berada di takuk yang sama? Atau bangkit untuk terus memajukan diri dan terus meningkatkan potensi diri. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah peluang dan ruang untuk meningkatkan diri masih diberikan oleh Allah swt kepada kita. Yang pertama, kena sentiasa berfikiran positif, kedua, cari dan bina suasana yang positif dan ketiga, berada dalam kalangan mereka yang positif! Ayuh mulakan sekarang!

Mohd Hariz Fathee 😎

Buat yang terbaik..!

Buat teman-teman yang sedang berusaha untuk melakukan sesuatu, tidak kiralah sedang mencari pekerjaan, atau sedang bekerja, atau mencari rezeki untuk keluarga, atau bakal menghadapi peperiksaan, atau sedang mengikuti kuliah dan pelajaran, ingatlah, SENTIASA BUAT YANG TERBAIK! Sentiasa berikan 100%, jangan berikan 120% atau 200% kerana lambat laun anda akan dilanda penyakit futur (putus asa), jangan pula berikan 50% sahaja, kerana itu adalah sikap pemalas. Saya doakan semua teman-teman dipermudahkan urusan oleh Allah swt.
Ikhlas daripada saya,
Mohd Hariz Fathee 😎

Saturday, May 11, 2019

BERHATI-HATI MEMBERIKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN.

Tidak dinafikan lagi, amalan bersedekah adalah suatu amalan yang sangat dituntut di dalam bulan Ramadhan. Sebagaimana Allah swt berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak. (Al-Hadid, ayat 18)
Ini menunjukkan bahawa, pahala amalan bersedekah kita akan dilipatgandakan oleh Allah swt dengan gandaan pahala yang begitu banyak sekali.
Namun, bulan-bulan puasa ni, berhati-hatilah dalam menghulurkan sumbangan..ramai yang menipu, dan ramai manusia durjana yang ingin mengambil kesempatan, jangan mudah percaya dan jangan terpedaya pada luaran sahaja, berkopiah, berjubah, follower ramai..minta sumbangan guna nama anak yatim, guna nama sekolah agama, tapi rupa-rupanya menggemukkan anak-beranak, mengkayakan anak-beranak, anak yatim? Hanya berbuka dengan lauk telur goreng sahaja.
Pakaian mereka dan keluarga mereka? Jauh lebih mahal daripada pakaian anak-anak yatim. Rumah mereka dan keluarga mereka? Jauh lebih mahal daripada rumah atau sekolah yang mereka bina untuk anak-anak yatim. Kenderaan mereka dan keluarga mereka? Jauh lebih selesa berbanding kenderaan yang mereka guna untuk angkut anak-anak yatim ini bagi memungut sumbangan.
Saya perhatikan gejala ini semakin hari semakin membarah, mereka yang menipu menggunakan agama semakin hari semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan. Mulut mereka manis berbicara, sentiasa menyebut berkaitan hal-hal agama, selalu sebut ikutlah cara nabi-nabi, tetapi akhlak dan perbuatan mereka tersimpang jauh daripada nabi, mendekat bahkan lebih teruk daripada babi.
Saya lebih suka apa yang saya sumbangkan sampai terus kepada penerima, jadi kena lebih berhati-hati. Selepas beri sumbangan, sentiasa follow up, jika boleh, duduk dan makan bersama dengan anak yatim yang kita beri sumbangan tadi. Tapi, jangan risau..kalau kita tertipu, kita akan dapat dua pahala, satu pahala sedekah dan satu lagi pahala kerana ditipu.
Harus diingatkan, BUKAN semuanya begini, terdapat ramai juga pejuang-pejuang agama yang mewakafkan diri mereka untuk membantu anak-anak yatim dengan ikhlas. Pakaian anak yatim lebih kemas daripada pakaian mereka, rumah atau sekolah anak yatim jauh lebih selesa daripada rumah mereka. Inilah mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka. Oleh itu, berilah sumbangan kepada mereka-mereka ini.
Akhir sekali, saya tidak mengajak untuk menjadi takut memberikan sumbangan, saya hanya mengajak supaya kita perlu jadi bijak dan lebih berhati-hati. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi bulan yang bermakna buat kita semua.
MOHD HARIZ FATHEE
Sekadar pemerhati 😎
22/5/2018

Sunday, May 6, 2012

Ujian Tanda Kasih Sayang Allah


Firman Allah SWT dlm surah Al-Baqarah, ayat 214 :

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُم‌ۖ مَّسَّتۡہُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬

Maksudnya :

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal kamu belum didatangi ujian seperti yang dialami oleh orang dahulu. Mereka ditimpa kepapaan, penyakit dan ketakutan sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya : “Bilakah akan datang pertolongan Allah ?” . Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat."

Pengajaran utama yang boleh kita dapat berdasarkan ayat di atas ialah Allah SWT tidak mendatangkan ujian kepada hambaNya yang beriman untuk menyusahkan atau membebankan, akan tetapi ujian itu merupakan petanda bahawa Allah SWT sangat sayang dan mengasihi akan hamba yang ditimpakan ujian tersebut. Maka jelaslah bahawa Allah itu benar-benar Maha Penyayang. Masakan tidak, Allah SWT telah nyatakan bahawa mereka yang ditimpakan ujian tersebut akan diganjari syurga selama-lamanya.


Selain itu juga, terdapat beberapa petanda yang Allah SWT ingin kita tahu, tatkala Dia datangkan kepada kita ujian, petanda tersebut ialah :

1) BERIMAN KEPADA ALLAH
Ujian itu datang kepada kita adalah supaya kita sedar siapa Pencipta kita, sudah pasti Allah SWT. Oleh itu, tatkala ujian datang kepada kita, teguhkanlah iman kita terhadap Allah SWT agar tiada apa yang bisa meruntuhkan keimanan serta kepercayaan kita terhadap Allah SWT. Maka percayalah dengan janji Allah bahawa syurgalah tempat bagi hamba-hambaNya yang beriman.

2) MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA
Dalam perjalanan hidup yang dipenuhi dengan liku-liku kehidupan, sudah pasti akan tercalit sedikit kekotoran ditengah-tengah perjalanan tersebut. Dan adakah sia-sia jika Allah turunkan ujian kepada kita dengan menjanjikan kepada kita penghapusan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini?? Sudah tentu tidak. Itulah tanda Allah sayang kepada kita, Allah kasih kepada kita, Allah mahu segala kekotoran dan dosa-dosa yang terpalit di dalam diri kita dibersihkan sekaligus memberikan ganjaran syurga jika sekiranya kita bersabar dan yakin dengan janjiNya.

3) ALLAH TEMPAT MEMINTA PERTOLONGAN
Kadang-kadang kita lupa bahawa hanya Allah tempat kita bergantung segalanya. Sesetengah daripada kita terlalu percaya kepada manusia sehingga menjadikan manusia tempat bergantung, sebab itulah ada diantara mereka sanggup menghabiskan jutaan ringgit semata-mata ingin berubat dengan bomoh serta khurafat tanpa sedikitpun mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Kerana itulah, Allah datangkan ujian kepada kita. Allah ingin mendengar luahan serta doa kita kerana Allah Maha Mendengar. Allah mahu kita mengharapkan bantuan daripadaNya kerana Allah Maha Berkuasa. Jadi, sentiasalah bertawakal dan berdoa kepada Allah apabila ujian itu datang kepada kita.

4) MEMBERI KESEDARAN
Ujian itu mampu memberikan kesedaran kepada manusia. Allah mahu kita sedar bahawa kita tidak mempunyai apa-apa daya dan kekuatan melainkan dengan izinNya. Oleh itu, janganlah menjadi manusia yang angkuh dan sombong dihadapan Allah SWT, kerana kita hanya insan yang kerdil dihadapanNya. Allah tidak menilai dari rupa paras, mahupun dari jasad luaran kita, akan tetapi Allah menilai dari hati hambaNya yang sentiasa mengingatiNya tatkala susah mahupun senang. Jika datang kepada kita ujian daripada Allah, basahkanlah lidah kita dengan zikrullah, moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang dikasihi olehNya.

Insya Allah....Wallahu'alam~

Friday, May 4, 2012

Indah Hidup Dengan Berkongsi


 “Belajar untuk menyusun masa kita. Bertambahnya amanah atau tanggungjawab bukan suatu alasan untuk kita mengenepikan kualiti dalam melaksankan tugasan tersebut. Utamakan mana yang perlu dan curi masa kita dengan baik. Isi kan masa senggang tersebut untuk mengulang kaji biarpun untuk 10 minit.”

“Jangan pernah ambil enteng dengan kuantiti masa yang kita miliki kerana setiap orang berbeza, keperluannya tidak sama. Aktiviti kita dan kawan kita berbeza meski kursus yang diambil adalah sama. Tidak salah untuk meminta tips pengurusan masa daripada mereka yang berjaya. Mahu melihat jadual mereka juga tidak salah tetapi, kita tidak boleh menyusun jadual kita sebagaimana mereka menyusun jadual mereka.”

“Mereka susun mengikut keperluan mereka yang tentunya tidak sama dengan kita. Jika ada amanah yang tidak dapat kita pikul dengan baik, sebaiknya tolak dengan baik kerana dibimbangi kita akan menganiaya orang lain dan lebih lagi diri sendiri. Kenali diri dan had upaya diri.”

“Anggap setiap yang berlaku sebagai proses mengenali diri, insan-insan disekeliling kita juga yang utama, mengenali Khaliq kita. Jika semua berlaku atas aturan-Nya, tentu ada sebab pada setiap kesilapan yang kita lakukan atau 'kesilapan' orang atas kita. Tarbiah dan teguran Allah hadir melalui ujian.”

“Jika di sekolah, kita belajar melalui apa yang disampaikan oleh guru dan kemudian diberi ujian untuk menguji ilmu yang kita pelajari. Sebaliknya, dalam hidup, kita diberi ujian untuk memahami sesuatu perkara dan belajar melalui ujian tersebut.”

'Kehidupan' adalah suatu yang aneh dan unik, kerana itu kehidupan dilalui oleh manusia dan bukan makhluk lain. Kelebihan untuk menilai, memikir, merenung, memahami dan mengaplikasi sesuatu ada pada makhluk bernama insan.”

“Meski ia adalah makhluk yang tidak terlepas dari sifat alpa dan lupa namun, kerana keupayaan tadi, ia mampu memperbetulkan kesilapan yang dilakukan dalam keadaan sedar. Kelemahan boleh menjadi kekuatan dan kekuatan boleh pula menjadi kelemahan. Timbal baliknya adalah atas kita, bergantung pada kemahuan dan pengetahuan yang kita miliki.”

“Acuan yang kita pilih membentuk bentuk yang kita mahu jadi. Begitu juga pemikiran kita. Kebiasaan kita dibentuk oleh bentuk pemikiran kita. Jika kita rasa semua adalah mustahil, maka tindakan yang dibentuk akan membawa kepada rasa mustahil dan tidak berjaya. Oleh itu, memupuk motivasi yang positif dalam pelbagai bentuk sama ada melalui lisan, bacaan mahupun apa yang kita dengar, boleh mempengaruhi sikap kita secara tidak langsung.”


*HAK CIPTA TERPELIHARA*



Assalamualaikum w.r.b....buat pembaca sekalian, yang di atas ini adalah sedikit sedutan daripada karya yang sedang disiapkan. Terasa menarik pula untuk dikongsikan. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat. Ilham hadir dalam kedinginan malam yang basah dengan hujan. Doakan semoga karya ini dapat disiapkan dengan baik dan memberi manfaat kepada pembacanya. Sekian wassalam... [^^,]