Monday, April 30, 2012

Berjuta Helaian, Selaut Tinta

Assalamualaikum w.r.b.


Bertemu kita sekali lagi. Apa khabar semua? Moga dalam keadaan yang sejahtera hendaknya (",). Semenjak memulakan entri pertama tempoh hari, tangan terasa rajin hendak menaip pula (walhal ada tugasan peribadi yang perlu diselesaikan...:p). Anggap sahaja sebagai mencari ilham...ehe. Entri pada kali ini adalah secara santai dan sekadar berkongsi cerita.


Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menjadi salah seorang daripada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Tahun lepas tidak dapat pergi kerana sedang dalam fatrah peperiksaan. Alhamdulillah pada tahun ini berpeluang pergi secara tidak disangka-sangka dan semua urusan berkaitan dipermudahkan. Manisnya, ini adalah pertama kali saya menjejakkan kaki ke PBAKL. Kata Abah, PBAKL kali ini lebih tersusun berbanding tahun sudah kerana penyusunan adalah mengikut syarikat buku dan tidak berselerakkan. Malahan ada dewan tertentu yang menempatkan beberapa syarikat penerbit secara khusus. Terdapat juga dewan bagi seminar dan bengkel secara percuma. Sayangnya, saya terlepas...jika tidak pasti bertemu Ustaz Hasrizal dan mendengar perkongsian beliau. Bukan rezeki saya.


Bagi ulat buku seperti saya, PBAKL 2012 umpama syurga kerana buku-buku dapat dibeli dengan lebih murah berbanding di kedai biasa. Dan suatu kebahagiaan pula sekiranya dapat bertemu dengan penulis kegemaran. Umpama bertemu dengan pujaan hati :P
siapa mahu autograf saya? :P


Pengunjung yang paling beruntung tentunya daripada golongan siswa siswi kerana terdapat tawaran diskaun istimewa. Oleh yang demikian, jangan lupa bawa kad pelajar anda bersama !


Sememangnya tidak puas meronda di PBAKL 2012. Meski tangan sudah hampir kebas menjinjit beg plastik yang tidak ringan isinya, kaki yang terasa mahu tanggal dan pinggang yang mahu tercabut, jika tidak kerana rakan saya yang sudah membuat wajah kasihan agar saya berhenti berehat, sudah pasti saya teruskan sehingga pengsan ! =P


Ini adalah gambar hiasan semata-mata...


Oleh kerana masih belum puas (mana cukup 3 jam sahaja..ehe..), ketika di KLCC sementara menanti Abah selesai mesyuarat, saya mengheret teman saya ke Kinokuniya pula. Setelah itu kami bersiar-siar pula di taman di luar KLCC (saya terlupa nama tamannya). Damai terasa dapat mencuci mata dengan kehijauan alam.

Moral of the story yang mahu saya kongsikan adalah pergilah ke PBAKL 2012 sekiranya berkesempatan kerana kita tidak akan rugi membelanjakan wang bagi membeli buku. Ya, buku bukanlah aset material sebagaimana rumah dan kereta yang bisa dihitung nilai dalam bentuk tunai. Harganya bahkan lebih tinggi jika mampu diletakkan sebuah nilai. Isi buku ini yang akan menjaga dan membantu kita dalam menghadapi hari-hari yang sukar serta menjadi teman setia tanpa bicara, berkata-kata dengan kita tanpa suara dan yang lebih utama, menjadi penghubung antara kita dan insan di masa silam juga masa kini.


Tanpa helaian yang tercoret beribu tinta berdakwat, kita tidak akan mendapat hikmah pengetahuan daripada ulama silam mahupun masa kini. Ia menjadi penghubung antara kita dan 'guru-guru' kita ini. Maka, seharusnya kita menghargai setiap buku kerana di dalamnya terkandung mutiara-mutiara berharga. Kongsikan ilmu yang kita miliki, nyatakan sumber yang kita ambil, manfaatkan ilmu dengan mengamalkannya secara konsisten dan simpan ditempat yang baik semoga dengan itu orang lain juga dapat mengambil manfaat daripada isinya.


Badan yang sihat memerlukan makanan yang berkhasiat dan berzat, manakala akal yang sihat pula memerlukan bacaan yang baik dan bermanfaat. Biasakan untuk menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada rutin harian. Jangan biarkan otak kita lesu dan sakit. Sepanjang hayat kita, kita hanya menggunapakai otak kita dalam peratusan yang kecil, lalu mengapa tidak kita maksimumkan penggunaannya? Manusia adalah makhluk luar biasa yang Allah ciptakan.


Perkara yang baik tidak memerlukan masa yang sesuai untuk dimulakan kerana semakin bertunda sesuatu dilakukan, semakin berat ia terasa. Masih tidak terlambat selagi nyawa masih dikandung badan. Tiada yang mustahil sekiranya kita yang berkata demikian. Jangan biarkan berjuta helaian dan selaut tinta itu di telan dek zaman kerana sikap kita, bangsa lain telah maju bertapak ke hadapan kerana ilmu. Bilakah giliran kita?







No comments:

Post a Comment