Monday, April 30, 2012

Berjuta Helaian, Selaut Tinta

Assalamualaikum w.r.b.


Bertemu kita sekali lagi. Apa khabar semua? Moga dalam keadaan yang sejahtera hendaknya (",). Semenjak memulakan entri pertama tempoh hari, tangan terasa rajin hendak menaip pula (walhal ada tugasan peribadi yang perlu diselesaikan...:p). Anggap sahaja sebagai mencari ilham...ehe. Entri pada kali ini adalah secara santai dan sekadar berkongsi cerita.


Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menjadi salah seorang daripada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Tahun lepas tidak dapat pergi kerana sedang dalam fatrah peperiksaan. Alhamdulillah pada tahun ini berpeluang pergi secara tidak disangka-sangka dan semua urusan berkaitan dipermudahkan. Manisnya, ini adalah pertama kali saya menjejakkan kaki ke PBAKL. Kata Abah, PBAKL kali ini lebih tersusun berbanding tahun sudah kerana penyusunan adalah mengikut syarikat buku dan tidak berselerakkan. Malahan ada dewan tertentu yang menempatkan beberapa syarikat penerbit secara khusus. Terdapat juga dewan bagi seminar dan bengkel secara percuma. Sayangnya, saya terlepas...jika tidak pasti bertemu Ustaz Hasrizal dan mendengar perkongsian beliau. Bukan rezeki saya.


Bagi ulat buku seperti saya, PBAKL 2012 umpama syurga kerana buku-buku dapat dibeli dengan lebih murah berbanding di kedai biasa. Dan suatu kebahagiaan pula sekiranya dapat bertemu dengan penulis kegemaran. Umpama bertemu dengan pujaan hati :P
siapa mahu autograf saya? :P


Pengunjung yang paling beruntung tentunya daripada golongan siswa siswi kerana terdapat tawaran diskaun istimewa. Oleh yang demikian, jangan lupa bawa kad pelajar anda bersama !


Sememangnya tidak puas meronda di PBAKL 2012. Meski tangan sudah hampir kebas menjinjit beg plastik yang tidak ringan isinya, kaki yang terasa mahu tanggal dan pinggang yang mahu tercabut, jika tidak kerana rakan saya yang sudah membuat wajah kasihan agar saya berhenti berehat, sudah pasti saya teruskan sehingga pengsan ! =P


Ini adalah gambar hiasan semata-mata...


Oleh kerana masih belum puas (mana cukup 3 jam sahaja..ehe..), ketika di KLCC sementara menanti Abah selesai mesyuarat, saya mengheret teman saya ke Kinokuniya pula. Setelah itu kami bersiar-siar pula di taman di luar KLCC (saya terlupa nama tamannya). Damai terasa dapat mencuci mata dengan kehijauan alam.

Moral of the story yang mahu saya kongsikan adalah pergilah ke PBAKL 2012 sekiranya berkesempatan kerana kita tidak akan rugi membelanjakan wang bagi membeli buku. Ya, buku bukanlah aset material sebagaimana rumah dan kereta yang bisa dihitung nilai dalam bentuk tunai. Harganya bahkan lebih tinggi jika mampu diletakkan sebuah nilai. Isi buku ini yang akan menjaga dan membantu kita dalam menghadapi hari-hari yang sukar serta menjadi teman setia tanpa bicara, berkata-kata dengan kita tanpa suara dan yang lebih utama, menjadi penghubung antara kita dan insan di masa silam juga masa kini.


Tanpa helaian yang tercoret beribu tinta berdakwat, kita tidak akan mendapat hikmah pengetahuan daripada ulama silam mahupun masa kini. Ia menjadi penghubung antara kita dan 'guru-guru' kita ini. Maka, seharusnya kita menghargai setiap buku kerana di dalamnya terkandung mutiara-mutiara berharga. Kongsikan ilmu yang kita miliki, nyatakan sumber yang kita ambil, manfaatkan ilmu dengan mengamalkannya secara konsisten dan simpan ditempat yang baik semoga dengan itu orang lain juga dapat mengambil manfaat daripada isinya.


Badan yang sihat memerlukan makanan yang berkhasiat dan berzat, manakala akal yang sihat pula memerlukan bacaan yang baik dan bermanfaat. Biasakan untuk menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada rutin harian. Jangan biarkan otak kita lesu dan sakit. Sepanjang hayat kita, kita hanya menggunapakai otak kita dalam peratusan yang kecil, lalu mengapa tidak kita maksimumkan penggunaannya? Manusia adalah makhluk luar biasa yang Allah ciptakan.


Perkara yang baik tidak memerlukan masa yang sesuai untuk dimulakan kerana semakin bertunda sesuatu dilakukan, semakin berat ia terasa. Masih tidak terlambat selagi nyawa masih dikandung badan. Tiada yang mustahil sekiranya kita yang berkata demikian. Jangan biarkan berjuta helaian dan selaut tinta itu di telan dek zaman kerana sikap kita, bangsa lain telah maju bertapak ke hadapan kerana ilmu. Bilakah giliran kita?







Saturday, April 28, 2012

Jika Membenci Bukan Menjadi Pilihan

Assalamualaikum w.r.b.....salam perkenalan diucapkan =)


Entri pertama saya selaku orang baru dalam dunia 'blogging' adalah seperti yang anda lihat tajuknya di atas.


"....boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu  tidak mengetahui....
( Al-Baqarah : 216 )


Lazimnya apabila kita menempuh sesuatu keadaan yang menyakitkan hati dan jiwa, kita menemui sepotong ayat ini atau diberi sepotong ayat ini oleh seorang teman. Dan hati kita sama ada secara rela atau tidak, cuba untuk ditenteramkan. Namun hiba dihati masih juga belum surut. Jiwa masih tercarik-carik dengan imbasan segala yang berlaku. Luka masih terasa berdarah. Ada rasa membara di dalam. Serasa tiada yang dapat memahami apa yang sedang kita lalui dan tempuhi. Terlalu mudah untuk mereka berbicara tetapi mereka tidak menempuhi semua ini!


Berhenti sejenak !


Tarik nafas sedalamnya dan hembuskan perlahan......


"....Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman', dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta..."
( Al'Ankabut : 2 - 3 )


Perhatikan sejenak ayat di atas. Setiap dari kita diuji. Hanya saja ujian itu berbeza-beza. Acap kali kita terasa kebal dari ujian......maka akan menyebabkan persoalan ini timbul : "Mengapa harus aku menempuh semua ini?". Kita menjadi emosi lalu marah kepada asbab yang dilihat oleh pancaindera kita. Sebagai contohnya, duit kita dicuri orang, lalu kita marah kepada pencuri tersebut dengan merungut-rungut kita memerlukan duit tersebut, hanya itu sahaja tunai yang kita miliki pada ketika itu. Rentetan kepada segala runguta membawa kepada sebuah keazaman sekiranya pencuri itu diketahui, maka akan terancamlah nyawanya. Ini baru perihal pencuri. Lain pula kisahnya jika kita dikhianati. Tidak kisah siapa yang mengkhinati itu, yang pasti perbuatan itu meninggalkan kesan yang mendalam...luka tidak berdarah.


Benar, tiada siapa dapat menerima jika dilukai. Tetapi, mengapa perlu kita membenci? Mengapa itu yang menjadi pilihan pertama kita? Kita maklum bahawa Muhammad S.A.W. merupakan contoh ikutan kita tetapi pada beberapa perkara, kita akan berdalih. Baiklah, kita adalah manusia biasa. Kita bukan Nabi jauh lagi orang alim. Berhenti ! Berhenti untuk membuat perbandingan. Berhenti untuk mencari alasan untuk berdalih.


Lupakah kita bahawa setiap dari kita diuji sesuai kemampuannya? Lupakah kita bahawa yang memberi ujian itu adalah Allah? Dan lupakah kita bahawa ujian bisa hadir sebagai teguran dari Allah untuk kita? 


"It's funny. In school you're taught a lesson, then given a test. But in life, you're given a test that teaches you a lesson."






Belajar untuk berlapang dada dan menerima segala yang terjadi dengan tenang. Bersyukurlah kita masih diuji kerana itu tanda Allah sayang pada kita. Daripada kita membebankan fikiran kita dengan berbagai persoalan mengapa insan-insan tersebut tega menyakiti kamu dengan cara sedemikian......fikirkan pula apa yang ingin Allah khabarkan kepada mu? Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersirat hanya sahaja kita memilih untuk membuka hati melihatnya atau menafikan sehingga akhirnya kita sesal kerana tidak membuka 'mata' lebih awal.


Lapangkan hati dan biarkan apa yang terjadi berlalu. Tidak perlu dicari sebabnya lagi sebaliknya, bebaskan diri kita dari rasa yang menyesakkan. Kita boleh terlepas peluang yang baik kerana terlalu menangisi sesuatu. Tidak salah untuk menangis dan bersedih. Air mata tidak diciptakan sia-sia. Lepaskan apa yang kamu rasakan kemudian bangkit berdiri kembali meneruskan langkah.


Pada awalnya, sakit itu tidak terperi. Oleh itu, jangan pernah lupa DIA akan sentiasa bersama dalam setiap langkah yang kita atur. Percaya dengan setiap ketentuan-Nya dan belajar untuk ikhlas dan bersyukur menerima semuanya. Insya Allah secara perlahan-lahan kita akan merasa lebih tenang menghadapi keadaan yang menekan ini.


Pilihlah untuk tidak membenci dengan sebab diri kita sendiri, supaya kita tidak lagi perlu merasa sesak di dada. Lakukan untuk diri kita. Usah difikirkan untuk membalas segala yang dilakukan kerana ia tidak akan menyebabkan kita menjadi lebih mulia tetapi setaraf atau mungkin lebih hina dari pelaku asal. Sebaliknya, ucapkan terima kasih di atas kesakitan itu kerana kelak ia mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita menjadi lebih baik. Pilihlah sama ada kehidupan yang damai tanpa menambah musuh ataupun menjadi musuh kepada semua kerana kemarahan yang kita simpan itu. Ada apa pada benci?






                   "The best revenge you can give is to live happily."













Monday, April 23, 2012

Kreatifkan Dakwah

Setelah sekian lama tidak menulis, kali ni saya tergerak hati rasa ingin menulis kembali dan meng-update blog yang dah lama bersarang ni..alhamdulillah..syukur rasanya dapat menyiapkan tinta yang terbaru ini..semoga setiap perkataan mendapat keredhaanNya..Insya Allah..


Tiada isu besar yang ingin saya ketengahkan pada kali ini, cuma berkisar tentang perihal dakwah dan uslub yang harus digunakan dalam proses berdakwah. Persoalan pertama yang ingin saya bangkitkan disini ialah, apa itu dakwah? Secara istilahnya dakwah itu membawa maksud satu proses ajakan, seruan, panggilan yang berlaku untuk kembali kepada ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT. Dakwah merupakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT kepada semua umat Islam yang beriman kepadaNya seperti mana yang telah termaktub dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud :


"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah"


Sikap manusia banyak ragam serta 'perencah'nya. Kita diciptakan oleh Allah dengan aset yang berbeza-beza, setiap manusia ada tagline mereka sendiri. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT :


"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling berbakti dan bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat : 13)


Oleh sebab itu, dakwah tidak harus menjadi terlalu tetap dan terlalu spesifik, kenapa harus dikecilkan konsep dan uslub dakwah sedangkan ia harus diperluaskan dan diperbanyakkan. Kita harus lebih kreatif dalam usaha menyampaikan hak kepada mereka yang memerlukan. Adakah kita yakin dengan hanya satu-satu cara sahaja mampu menarik minat semua orang? Tentulah tidak.


Perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah menarik minat orang yang ingin kita dakwah. Ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara, yang penting kita harus kenal terlebih dahulu siapa orang yang kita ingin dakwah tersebut. Selidiki minat serta perkara yang boleh membuatkan mereka tertarik dan dengan perkara tersebut kita 'umpan' mereka untuk lebih dekat dengan kita, maka apabila mereka sudah mula tertarik dengan kita, maka perkara dakwah yang ingin kita sampaikan dapat dilakukan dengan lebih mudah.


Kemudian, setelah kita berjaya menarik minat orang yang ingin kita dakwah, dakwah serta ajakan kita itu harus dilakukan dengan cara yang paling berhikmah. Selain itu, kita harus lebih jujur dalam menyampaikan perkara yang hak. Janganlah kita menyembunyikan kebenaran atau kita sekadar mengambil perkara agama yang kita suka sahaja, yang kita tidak suka, kita tinggalkan. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik" (surah An-Nahl, ayat 125)


Dakwah serta ajakan itu tidak terhenti disitu sahaja, kita harus lebih konsisten dan jangan pernah berputus asa sekiranya dakwah kita tidak mendatangkan hasil yang positif. Tanam sifat yakin dengan kuasa Allah SWT, maka dengan itu kita akan lebih percaya bahawa dakwah yang kita lakukan itu tidak akan menjadi sia-sia. Selain konsisten yang dituntut, kita perlu sentiasa follow-up perkembangan orang-orang yang kita dakwah sehinggalah mereka mampu berdiri dengan kaki mereka sendiri. Pertolongan serta bimbingan harus diberikan senantiasa agar mereka tidak terkapai-kapai ditengah jalan seperti layang-layang yang putus talinya.


Akhirnya, perkara terkemudian yang kita boleh kita lakukan ialah berserah dan bertawakal kepada Allah SWT. Walau apa sekalipun yang terjadi, bersangka baik kepadaNya ialah pemikiran yang terbaik kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah SWT tidak akan menjadikan satu-satu perkara tanpa ada sebab-musababnya. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Bertawakallah kepada Allah. Cukuplah Allah yang menjadi pelindung." (surah An-Nisa', ayat 81)


Kesimpulannya, dakwah itu perkara yang mudah, tidak susah seperti yang disangkakan oleh sesetangah pihak. Oleh itu, jalankanlah tugas kita selaku khalifah di bumi Allah SWT ini, yang pasti cara dan uslub dakwah tersebut perlulah dikreatifkan dengan pelbagai cara yang mampu menarik lebih ramai orang, asalkan tidak terpesong daripada garis panduan syariat yang telah ditetapakan. Wallahu'alam~