Sunday, May 6, 2012

Ujian Tanda Kasih Sayang Allah


Firman Allah SWT dlm surah Al-Baqarah, ayat 214 :

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُم‌ۖ مَّسَّتۡہُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬

Maksudnya :

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal kamu belum didatangi ujian seperti yang dialami oleh orang dahulu. Mereka ditimpa kepapaan, penyakit dan ketakutan sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya : “Bilakah akan datang pertolongan Allah ?” . Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat."

Pengajaran utama yang boleh kita dapat berdasarkan ayat di atas ialah Allah SWT tidak mendatangkan ujian kepada hambaNya yang beriman untuk menyusahkan atau membebankan, akan tetapi ujian itu merupakan petanda bahawa Allah SWT sangat sayang dan mengasihi akan hamba yang ditimpakan ujian tersebut. Maka jelaslah bahawa Allah itu benar-benar Maha Penyayang. Masakan tidak, Allah SWT telah nyatakan bahawa mereka yang ditimpakan ujian tersebut akan diganjari syurga selama-lamanya.


Selain itu juga, terdapat beberapa petanda yang Allah SWT ingin kita tahu, tatkala Dia datangkan kepada kita ujian, petanda tersebut ialah :

1) BERIMAN KEPADA ALLAH
Ujian itu datang kepada kita adalah supaya kita sedar siapa Pencipta kita, sudah pasti Allah SWT. Oleh itu, tatkala ujian datang kepada kita, teguhkanlah iman kita terhadap Allah SWT agar tiada apa yang bisa meruntuhkan keimanan serta kepercayaan kita terhadap Allah SWT. Maka percayalah dengan janji Allah bahawa syurgalah tempat bagi hamba-hambaNya yang beriman.

2) MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA
Dalam perjalanan hidup yang dipenuhi dengan liku-liku kehidupan, sudah pasti akan tercalit sedikit kekotoran ditengah-tengah perjalanan tersebut. Dan adakah sia-sia jika Allah turunkan ujian kepada kita dengan menjanjikan kepada kita penghapusan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini?? Sudah tentu tidak. Itulah tanda Allah sayang kepada kita, Allah kasih kepada kita, Allah mahu segala kekotoran dan dosa-dosa yang terpalit di dalam diri kita dibersihkan sekaligus memberikan ganjaran syurga jika sekiranya kita bersabar dan yakin dengan janjiNya.

3) ALLAH TEMPAT MEMINTA PERTOLONGAN
Kadang-kadang kita lupa bahawa hanya Allah tempat kita bergantung segalanya. Sesetengah daripada kita terlalu percaya kepada manusia sehingga menjadikan manusia tempat bergantung, sebab itulah ada diantara mereka sanggup menghabiskan jutaan ringgit semata-mata ingin berubat dengan bomoh serta khurafat tanpa sedikitpun mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Kerana itulah, Allah datangkan ujian kepada kita. Allah ingin mendengar luahan serta doa kita kerana Allah Maha Mendengar. Allah mahu kita mengharapkan bantuan daripadaNya kerana Allah Maha Berkuasa. Jadi, sentiasalah bertawakal dan berdoa kepada Allah apabila ujian itu datang kepada kita.

4) MEMBERI KESEDARAN
Ujian itu mampu memberikan kesedaran kepada manusia. Allah mahu kita sedar bahawa kita tidak mempunyai apa-apa daya dan kekuatan melainkan dengan izinNya. Oleh itu, janganlah menjadi manusia yang angkuh dan sombong dihadapan Allah SWT, kerana kita hanya insan yang kerdil dihadapanNya. Allah tidak menilai dari rupa paras, mahupun dari jasad luaran kita, akan tetapi Allah menilai dari hati hambaNya yang sentiasa mengingatiNya tatkala susah mahupun senang. Jika datang kepada kita ujian daripada Allah, basahkanlah lidah kita dengan zikrullah, moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang dikasihi olehNya.

Insya Allah....Wallahu'alam~

No comments:

Post a Comment